RADARNALAR.SITE, Sekurang-kurangnya 20 orang terbunuh hari ini akibat serangan tentera Israel, termasuk enam individu yang sedang menunggu bantuan makanan di wilayah Gaza.
Insiden berdarah terbaharu berhampiran lokasi pengagihan bantuan itu berlaku selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengecam tindakan memperalatkan makanan sebagai senjata di Gaza, yang mana sebuah pertubuhan disokong Amerika Syarikat (AS) dan Israel kini mengambil alih peranan agensi kemanusiaan sedia ada.
Jurucakap pertahanan awam, Mahmud Bassal, memberitahu AFP enam orang terbunuh, manakala 30 lagi cedera akibat tembakan tentera Israel yang menyasarkan ribuan orang awam yang sedang menunggu bantuan di kawasan Gaza.
Bassal mendakwa, orang ramai terkena peluru dan tembakan meriam dari kereta kebal Israel.
Bagaimanapun, tentera Israel ketika dihubungi AFP berkata mereka sedang 'menyemak' laporan berkenaan.
Sementara itu, tekanan terhadap pertubuhan bantuan swasta, Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) terus meningkat.
GHF dibawa masuk ke Gaza pada hujung Mei untuk menggantikan peranan agensi PBB, namun operasi mereka dipenuhi kekacauan dan dipersoal dari segi ketelusan.
Agensi PBB bagi pelarian Palestin (UNRWA) menyifatkan sistem bantuan yang disokong AS dan Israel itu sebagai satu penghinaan yang mengancam nyawa rakyat Palestin, manakala jurucakap Pejabat Hak Asasi Manusia PBB, Thameen Al-Kheetan, mengecam tindakan mempergunakan makanan sebagai senjata di wilayah terbabit.
Walaupun Israel dilaporkan mula melonggarkan sekatan bantuan sejak Mei lalu, pelbagai sekatan lain masih berkuat kuasa.
Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, lebih 500 individu terbunuh berhampiran pusat agihan bantuan sejak hujung Mei, ketika orang ramai berasak-asak mendapatkan bekalan yang terhad.
Agensi pertahanan awam juga memaklumkan bahawa tentera Israel membunuh 46 orang yang sedang menunggu bantuan semalam.
Bagaimanapun, GHF menafikan sebarang tanggungjawab terhadap kematian yang berlaku berhampiran lokasi bantuan kendalian mereka.
Serangan sebelum awal pagi tadi ke atas sebuah rumah di kem pelarian Nuseirat mengorbankan enam orang termasuk seorang kanak-kanak, manakala lapan lagi maut dalam dua serangan berasingan di kediaman di Deir el-Balah dan timur Bandar Gaza.
Sekatan media oleh Israel di Gaza dan kesukaran untuk mengakses beberapa kawasan menjadikan AFP tidak dapat mengesahkan angka korban atau butiran yang diberikan oleh pasukan penyelamat serta pihak berkuasa tempatan secara bebas.