Tentera Israel bunuh 46 penduduk Gaza tunggu bantuan makanan

25 Jun 2025 | Penerbit: radarnalar

Tentera Israel bunuh 46 penduduk Gaza tunggu bantuan makanan

RADARNALAR.SITE, Pasukan pertahanan awam Gaza melaporkan tentera Israel membunuh seramai 46 lagi penduduk Palestin yang sedang menunggu bantuan kemanusiaan di wilayah bergolak itu, semalam.

Insiden itu berlaku ketika pelbagai kumpulan hak asasi manusia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengecam sistem pengagihan bantuan makanan anjuran Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF), disokong AS dan Israel.

Jurucakap pertahanan awam, Mahmud Bassal, memberitahu AFP bahawa 21 orang terbunuh dan kira-kira 150 cedera akibat tembakan tentera Israel berhampiran satu pusat bantuan di tengah Gaza awal pagi semalam, manakala 25 lagi terbunuh dalam insiden berasingan di selatan Gaza.

"Setiap hari kami berdepan senario ini, syuhada, kecederaan, dalam jumlah yang tidak tertanggung.

"Hospital-hospital tidak mampu menampung jumlah mangsa yang tiba," kata Paramedi, Ziad Farhat kepada AFP di Hospital Nasser, selatan Gaza.

Saksi menggambarkan suasana panik apabila kereta kebal dan dron tentera Israel didakwa melepaskan tembakan ke arah orang awam.

Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB menyifatkan penyaluran bantuan secara ketenteraan sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa.

"Menjadikan makanan sebagai senjata dan menghalang akses kepada keperluan asasi adalah jenayah perang," kata jurucakap Thameen al-Kheetan.

GHF, yang mula beroperasi pada Mei lalu, dikritik kerana mengabaikan agensi bantuan sedia ada dan bergantung kepada kawalan ketenteraan.

Sementara Israel melihatnya sebagai strategi mengekang Hamas, PBB serta NGO utama enggan terbabit atas dasar etika dan keselamatan.

Berikutan krisis kebuluran dilihat semakin meruncing, PBB menggesa pembukaan akses kemanusiaan berskala besar melalui saluran neutral.

"Bantuan mesti disalurkan dengan selamat dan mencukupi," tegas Pesuruhjaya Agung UNRWA, Philippe Lazzarini.

"Di Gaza, hanya PBB yang mampu laksanakannya."

Tentera Israel memaklumkan siasatan terhadap insiden sedang dijalankan namun belum mengesahkan butiran kejadian.

Sementara itu, desakan terhadap pertanggungjawaban dan reformasi sistem bantuan semakin meningkat. - AFP

 


Komentar