RADARNALAR.SITE, Sekurang-kurangnya 21 rakyat Palestin terbunuh akibat tembakan dan serangan udara oleh tentera Israel di Semenanjung Gaza hari ini, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.
Serangan berlaku ketika usaha perantara diteruskan untuk mewujudkan semula rundingan gencatan senjata antara Israel dan Hamas bagi menamatkan peperangan.
Pihak berkuasa kesihatan memaklumkan, sekurang-kurangnya sembilan individu terbunuh dalam serangan udara Israel ke atas sebuah sekolah yang menempatkan keluarga pelarian di kawasan Sheikh Radwan, Gaza City manakala sembilan lagi maut dalam satu lagi serangan berhampiran kawasan khemah pelarian di Khan Younis, selatan wilayah berkenaan.
Tiga lagi mangsa dilaporkan terbunuh akibat tembakan tentera Israel manakala puluhan yang lain cedera ketika orang ramai berkumpul menanti ketibaan trak bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di laluan utama tengah Gaza, menurut pasukan perubatan.
Kejadian itu adalah insiden terbaharu yang menyaksikan korban di lokasi pengagihan bantuan.
Setakat ini, tiada sebarang kenyataan dikeluarkan oleh tentera Israel berhubung insiden yang berlaku hari ini.
Israel menyatakan bahawa kempen ketenteraan itu bertujuan menghapuskan pejuang Hamas yang melancarkan serangan ke atas selatan Israel dari Gaza pada 2023, selain membebaskan tebusan yang masih ditahan kumpulan berkenaan.
Kematian terbaharu ini berlaku ketika Mesir dan Qatar, selaku perantara Arab dengan sokongan Amerika Syarikat (AS), menghubungi kedua pihak yang bertelagah dalam usaha memulakan semula rundingan gencatan senjata, namun menurut sumber Hamas, tiada tarikh ditetapkan bagi pusingan baharu rundingan terbabit.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, yang mengetuai kerajaan campuran bersama parti sayap kanan, menegaskan bahawa Hamas yang mentadbir Gaza hampir dua dekad perlu membebaskan semua tebusan, menarik diri sepenuhnya daripada sebarang peranan pentadbiran serta melucutkan senjata sebagai syarat untuk menamatkan peperangan.
Sebaliknya, Hamas menyatakan kesediaan untuk membebaskan tebusan sekiranya Israel bersetuju dengan gencatan senjata kekal dan menarik keluar tenteranya dari Gaza.
Walaupun Hamas menyatakan ia tidak lagi bercadang untuk mentadbir Gaza, kumpulan itu tetap enggan membincangkan isu pelucutan senjata.
Pada 7 Oktober 2023, pejuang Hamas melancarkan serangan ke atas Israel yang mengorbankan hampir 1,200 orang dan menawan 251 tebusan, menurut angka rasmi Israel yang kemudian melancarkan kempen ketenteraan besar-besaran sebagai tindak balas.