Pemimpin Thailand, Kemboja lawat sempadan dipertikai ketika ketegangan memuncak

26 Jun 2025 | Penerbit: radarnalar

Pemimpin Thailand, Kemboja lawat sempadan dipertikai ketika ketegangan memuncak

RADARNALAR.SITE, Pemimpin Thailand dan Kemboja hari ini melawat kawasan berbeza di sepanjang sempadan darat yang dipertikaikan antara kedua-dua negara.

Lawatan itu dibuat ketika ketegangan terus memuncak susulan pertikaian wilayah dan kejatuhan kerajaan Thailand yang didakwa semakin hampir.

Hubungan antara kedua negara semakin renggang susulan pertempuran bersenjata di kawasan sempadan hujung bulan lalu yang mengakibatkan seorang anggota tentera Kemboja terbunuh.

Kejadian itu mencetuskan beberapa tindakan balas antara kedua pihak, termasuk penghantaran tentera, penggantungan sepenuhnya import bahan api dan gas oleh Kemboja dari Thailand, serta penutupan separa beberapa pos kawalan oleh Thailand di sepanjang sempadan darat sepanjang 817 kilometer itu.

Pertikaian ini menambah tekanan terhadap Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra, yang sedang berusaha memulihkan ekonomi negara yang semakin lemah serta mengekalkan kestabilan gabungan kerajaan yang rapuh, di tengah-tengah protes awam dan undi tidak percaya di Parlimen.

Ketika tiba di bandar sempadan Thailand, Aranyaprathet di wilayah Sa Kaeo, yang terletak berseberangan dengan Poipet di Kemboja, Paetongtarn disambut kumpulan penyokong, dengan sebahagiannya memegang kain rentang besar tertera tulisan "Sayang Perdana Menteri Paetongtarn."

Paetongtarn berkata tujuan lawatannya adalah untuk meninjau pelaksanaan operasi membanteras jenayah rentas negara serta menilai kesan sekatan di sempadan, yang menyaksikan Thailand menghentikan sepenuhnya kemasukan semua kenderaan, pelancong dan peniaga melalui laluan darat ke Kemboja.

"Kami mahu melihat kesan daripada dasar ini dan apa yang boleh dilakukan kerajaan untuk membantu. Ini matlamat utama lawatan kami hari ini," kata Paetongtarn dalam pertemuannya bersama pegawai kerajaan.

ekas Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen, pagi ini melawat anggota tentera dan pegawai kerajaan di wilayah Oddar Meanchey, yang terletak berseberangan dengan wilayah Surin di Thailand.

Rakaman media tempatan menunjukkan Hun Sen, berpakaian seragam tentera, tiba dengan helikopter dan bertemu pegawai di kawasan berkenaan. 


Komentar